Monday 28 March 2011

Sujud Tilawah Dan Sujud Syukur


Sepertimana yang telah dijelaskan bahawa sujud tilawah itu sunat juga dilakukan di luar sembahyang iaitu setelah selesai menghabiskan bacaan ayat sajdah atau mendengarnya, jika hendak melakukan sujud tilawah hendaklah berniat sujud tilawah kemudian bertakbir iftitah seperti takbiratul ihram dalam sembahyang.

Niat sujud tilawah ini adalah wajib bersandarkan kepada hadis Baginda Rasulullah SAW :
Maksudnya: “Sesungguhnya amal perbuatan itu hanyalah dengan niat”

Begitu juga dengan takbir iftitah hukumnya adalah wajib kerana ia adalah merupakan syarat sujud tilawah itu menurut pendapat al-ashah.

Di samping berniat di dalam hati ia juga disunatkan melafazkan niatnya itu, seperti:
Ertinya:“Sahaja aku melakukan sujud tilawah kerana Allah Ta‘ala”
Kemudian itu bertakbir sekali lagi untuk melakukan sujud tanpa mengangkat tangannya. Apabila hendak bangun dari sujud adalah disunatkan ketika mengangkat kepalanya dengan bertakbir.

Adalah disunatkan menurut pendapat al- shahih memanjangkan bacaan takbir yang kedua ketika hendak sujud sehingga ia meletakkan dahinya ke tempat sujud, dan juga bagi takbir yang ke tiga ketika bangkit dari sujud sehingga duduk semula.(Al-Majmuk 3/561)
Setelah ia bangun dari sujud maka disudahi dengan salam iaitu dalam keadaan dia duduk tanpa bertasyahhud. Salam menurut pendapat al-azhar adalah wajib kerana ia merupakan syarat sebagaimana di dalam kitab Syarah Al-Minhaj.

Kesimpulannya perkara yang dituntut yang juga merupakan rukun sujud tilawah bagi yang melakukannya bukan di dalam sembahyang ialah niat sujud, takbir seperti yang dilakukan ketika hendak mengangkat takbir untuk menunaikan sembahyang, sujud dan juga salam.
Perlu diingat bahawa untuk melakukan sujud tilawah di luar sembahyang ini tidak disunatkan bangun dari duduk untuk berdiri (qiam) kemudian melaksanakan sujud, bahkan memadailah hanya dalam keadaan duduk. Sementara itu jika dia dalam keadaan berdiri maka dilakukan takbiratul ihram dalam keadaan berdirinya itu kemudian membaca takbir dan sujud.(At-Tibyan Fi Adab Hamalatil Quran 118)

BACAAN ATAU ZIKIR  KETIKA SUJUD TILAWAH
Adalah sunat hukumnya membaca zikir ketika di dalam sujud tilawah. Di antara zikir yang di galakkan itu ialah:

Ertinya: “Telah sujud wajahku kepada (Allah,Zat) yang Menciptakannya, yang Membentuknya dan yang Membuka pendengarannya serta penglihatannya dengan daya dan kekuatanNya maka Maha berkat (serta maha tinggilah kelebihan) Allah sebaik-baik Pencipta”
Dan zikir yang lain sebagaimana yang di sebut dalam hadis Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam:


Maksudnya : “Ya Allah tuliskan bagi ku dengan sujud ini pahala dan jadikanlah sujud ini berharga di sisiMu dan hindarkanlah daripadaku dosa dengannya terimalah ia daripadaku sepertimana Engkau menerima sujud hambaMu Daud”
(Hadis riwayat Al-Tirmidzi dan lainnya dengan sanad yang hasan)

Sementara itu Al-Ustaz Ismail Al-Dharir di dalam tafsirnya menaqalkan bahawa Imam Asy-Syafi‘ie memilih untuk diucapkan di dalam sujud tersebut :
Ertinya: “Maha suci tuhan kami, sungguh janji Tuhan kami tetap terlaksana”
Walau bagaimanapun adalah harus dibawakan zikir yang biasa digunakan di dalam sujud sembahyang.

Menurut Imam Al-Qalyubiy bahawa sujud tilawah atau sujud syukur itu boleh diganti dengan zikir berikut bagi orang yang tidak melakukan sujud walaupun ia suci dari hadas (dalam keadaan berwudhu) seperti ucapan:
Ertinya:“Maha suci Allah dan segala puji-pujian bagiNya, tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Allah itu Maha Besar”.
Dibaca zikir tersebut sebanyak empat kali kerana ia boleh menggantikan tempat tahiyatul masjid.(Al-Fiqhu Al-Islami Wa Adillatuhu 1136)

APA DIA SUJUD SYUKUR ITU ?
Sujud syukur ialah sujud untuk menyatakan terima kasih atas nikmat yang dilimpahkan Allah SWT atau atas terhindarnya seseorang dari malapetaka.

HUKUM SUJUD SYUKUR
Jumhur ulama berpendapat bahawa sujud syukur itu adalah sunat berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abdur Rahman bin Auf katanya yang maksudnya :

“Sewaktu Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam keluar menuju ke dalam bangunan-bangunan tinggi lalu memasukinya. Kemudian Baginda menghadap kiblat dan sujud, dan memanjangkan sujud Baginda. Kemudian Baginda mengangkat kepalanya seraya bersabda: “Sesungguhnya Jibril mendatangiku dan memberi khabar gembira kepadaku. Jibril berkata:“Sesungguhnya Allah mengatakan kepada engkau: “Siapa yang memberi selawat ke atas engkau Aku akan memberi selawat kepadanya dan siapa yang memberi salam kepada engkau, Aku akan memberi salam kepadanya” Lalu saya bersujud sebagai tanda syukur kepada Allah”.
(Hadis riwayat Imam Ahmad)

Dalam hadis yang lain pula yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan selainnya bahawa Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam jika sampai kepada Baginda sesuatu perkara yang menggembirakannya, Baginda akan melakukan sujud.(Syarah Al-Minhaj)

Sujud syukur di dalam mazhab Asy-Syafi‘ie tidak boleh dilakukan di dalam sembahyang. Ianya hanya sunat dilakukan di luar sembahyang ketika seseorang mendapat limpahan rahmat daripada Allah atau terhindar daripada malapetaka.
Di antara sujud yang dikategorikan sebagai sujud syukur ialah sujud selepas membaca ayat 25 daripada surah Shad iaitu:

Tafsirnya: “Maka Kami mengampuni kesalahannya. Sesungguhnya dia dekat dari Kami dan mempunyai tempat kembali yang baik”.

Dari itu sujud kerana ayat ini tidak boleh dibuat di dalam sembahyang kerana sujud pada ayat di atas adalah atas dasar syukur dan sujud syukur tidak boleh dilakukan di dalam sembahyang. Jika dia sujud maka batallah sembahyangnya menurut pandapat al-ashah, kecualilah jika ia tidak mengetahuinya atau ia terlupa.


BAGAIMANA SUJUD SYUKUR DILAKSANAKAN ?
Sujud syukur dilaksanakan sama halnya seperti melakukan sujud tilawah ketika ia dilakukan di luar sembahyang iaitu berniat untuk melakukan sujud syukur,takbir,sujud dan juga salam.

Syarat-syarat sahnya juga sama seperti syarat-syarat yang terkandung di dalam sujud tilawah iaitu suci dari hadas kecil dan besar, menutup aurat dan menghadap kiblat.
Dari segi zikir yang sunat dibaca ketika sujud syukur ini adalah sama seperti zikir-zikir yang telah dijelaskan di dalam sujud tilawah.

Begitulah cara Islam mengajarkan kita bagaimana cara mensyukuri nikmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala atau terlepas daripada bala. Di samping sunat melaksanakan sujud syukur disunatkan juga bersedekah dan melakukan sembahyang sunat syukur. ( Mughni Al-Muhtaj 1/219). Menurut Al-Khawarizmi pula, jika ia menggantikan tempat sujud itu dengan bersedekah atau sembahyang dua rakaat maka itu adalah yang lebih baik.

Menurut Imam Al-Ramli bahawa sujud syukur itu terluput waktunya jika jarak di antara sujud itu dan sebabnya terlalu lama.

PENUTUP      
Sujud tilawah dan sujud syukur seperti yang dijelaskan di atas merupakan satu ibadat yang tuntutannya adalah sunat. Cara melakukannya pun mudah tetapi nilainya tinggi di sisi Allah sepertimana yang dijelaskan oleh hadis Baginda tentang kelebihan sujud tilawah. Dari itu, sayugialah diingatkan supaya jangan dilepaskan peluang melakukan ibadat sujud ini, walaupun ia hanya merupakan tuntutan sunat tetapi dengan melakukannya bererti kita menghidupkan sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan dan tidak mengabaikan ajaran Islam.

WALLAHUALAM

Sumber rujukan

Saturday 12 March 2011

Cinta Oh Cinta (Bahagian 2)

Pernahkah terfikir, mengapa cinta pada usia remaja amat indah dirasakan?

Duhai para gadis...tika anda berasa perasaan dilamun khayalan itu, NAFSU mula bermaharajalela. Syaitan pula BERTEPUK TANGAN. Syaitan menJERAT anda dengan TALI KESESATANNYA dan terus memujuk rayu perasaan anda, hinggalah anda mabuk dan hilang kawalan. Teman lelaki yang anda sangka KEKASIH SEJATI itu adalah SYAITAN BERWAJAH MANUSIA yang mula mengikut kehendak nafsu kelelakiannya yang
memandang perempuan dengan SATU HAJAT. Jika nama makhluk itu 'lelaki', yang TIDAK DIIKAT AKAD NIKAH dengan anda, tidak kira usianya muda ataupuna tua, percayalah...hajatnya SATU sahaja. Apabila hajatnya dipenuhi, belum tentu anda akan dibelai lagi seperti selalu. Belum tentu juga dia akan melayan anda dengan baik seperti sebelumnya.

Anda ingat teman anda itu suka sangat membelai anda, memuji dan menyanjung anda tanpa sebab?

Duhai gadis... Segeralah ingat bahawa di KIRI KANAN ada MALAIKAT yang menjaga kita setiap saat, tidak pernah lalai mencatat amalan sejak kita dilahirkan. Pada diri kita ada pandangan ALLAH SWT yang Maha Melihat dan Maha Menghitung perbuatan manusia. Malaikat di kiri kanan anda itu amat malu hendak melihat PERLAKUAN JELIK anda dengan si dia. RAQIB di sebelah kanan menggeleng-geleng kerana tidak dapat mencatat kebaikan manakala ATID di sebelah kiri pula menggeleng-geleng kerana tidak sanggup mencatat kejahatan yang sedang anda buat.


Cinta muda mudi yang sedang anda lalui ini TIDAK ADA MATLAMATNYA. Yang ada hanyalah keseronokan dan PANAHAN SYAITAN. Tolonglah! Tolonglah JANGAN izinkan syaitan bertepuk tangan dan bersorak kemenangan. Jika anda layu di hujung rayuan si dia, maka syaitan akan berpesta kerana seorang lagi anak Adam berjaya ditawan dan dijadikan kawan karibnya dalam RIMBUNAN KAYU API NERAKA KELAK.

Namun jika anda tersedar daripada perbuatan keji itu, berISTIGFAR, memohon KEAMPUNAN dan menyesal, makan SYAITAN AKAN MERATAP kerana sudah KALAH DI TANGAN MANUSIA yang dijadikan ALLAH SWT sebagai Khalifah di atas bumi ini. Dan inilah pilihan yang benar. InsyaALLAH..

Continue....

Tuesday 8 March 2011

Cinta Oh Cinta (Bahagian 1)

Berdasarkan situasi masa kini, ana menjangka sebahagian besar anak muda pernah bercinta dalam usia mentah mereka. Seawal usia belasan tahun, mereka sudah berani mempertaruhkan diri untuk jatuh cinta, mencintai dan dicintai.

Wahai anak gadis... Usah mudah sangat membiarkan diri anda jatuh cinta. Jika terlalu mudah jatuh cinta, anda tidak akan lagi menghargai cinta itu. Dan cinta itu akan menjadi CINTA MURAHAN yang boleh dibeli di mana-mana. CInta murahan juga tidak kekal lama.

Wahai gadis... seronok jika ada teman lelaki, kan? Seakan-akan dunia anda yang punya. Alam ini dilihat indah di mana-mana. Mana tidaknya, ketika bercinta, si dia sentiasa ada banyak masa untuk dihabiskan bersama-sama anda. Sidia juga sering memberikan hadiah, membawa anda bercuti dan meraikan hari-hari istimewa bersama anda.

Tetapi awas! Mengapa si dia terlalu baik melayan anda? Katanya, dialah buah hati anda dunia dan akhirat. Andalah segala-galanya. Dia terlalu banyak memuji anda. Pernahkah sewaktu bersama dengannya, tangannya cuba-cuba menyentuh anda (kononnya tidak sengaja), bibirnya cuba mendekati pipi anda atau hidungnya selalu dekat dengan rambut anda?

Pada hemat ana, perkara sebegitu sering berlaku. Apakah tindakan anda? Adakah anda menepis dengan manja gerak gerinya, marah pada kali pertama tetapi membiarkan pada kali kedua dan seterusnya?

Alangkah nikmatnya cinta... Itu yang anda rasa dan fikirkan?? Biarkan masa lambat berlalu jika bersamanya. Dan biarkan jarum jam cepat berputar untuk menanti saat bertemu dengannya lagi..???

Continue....

Sunday 6 March 2011

Setiap Langkah Tersirat Makna

  • Ketika berkumur : Bisikkanlah dalam hati "Ya ALLAH... Ampunilah dosa mulut dan lidahku ini.." (Ini kerana mulut dan lidah adalah anggota yang paling banyak menyebabkan dosa)
  • Ketika membasuh muka : Bisikkanlah "Ya ALLAH... Putihkanlah mukaku diAkhirat kelak. Janganlah KAU hitamkan mukaku ini.." (Ini kerana muka ahli Syurga putoh berseri-seri)
  • Ketika membasuh tangan kanan, bisikkan pula " Ya ALLAH... Berikanlah hisab-hisabku melalui tangan ini.."( Ini kerana hisab yang didapati melalui tangan kanan membuktikan Husnul Khatimah)
  • Ketika membasuh tangan kiri, Merintihlah dengan bisikan " Ya ALLAH... Janganlah KAU berikan hisab-hisabku melalui tangan kiriku ini.." ( Ini kerana pemberian hisab melalui tangan kiri bermaksud Suul Khatimah)
  • Ketika membasuh kepala, berbisiklah "Ya ALLAH.. Lindungilah daku dari terik matahari di Padang Mahsyar dengan ArasyMU" (Ini kerana terika matahari di Padang Mahsyar umpama ia berada hanya sejengkal di atas kepala)
  • Ketika membasuh telinga bisikkanlah "Ya ALLAH.. Ampunilah dosa telingaku ini.." (Ini kerana telinga pernah digunakan untuk mendengar fitnah, umpat dan hasutan)
  • Ketika membasuh kaki kanan, ucapkanlah "Ya ALLAH..permudahkanlah aku melintas Siratul Mustaqim.." ( Ini kerana melintas titian itu mudah untuk ahli Syurga)
  • Ketika membasuh kaki kiri berdoalah "Ya ALLAH bawakanlah aku ke masjid, surau dan bukan tempat-tempat maksiat" (Ini kerana manusia sentiasa memerlukan petunjuk Ar RAHMAN untuk melakukan kebaikan dan menjauhi kemurkaan)
Kemudian bacalah doa ini dengan sepenuh hati ;

Aku mengaku bahawa sesungguhnya tiada TUHAN melainkan ALLAH Yang Maha Esa dan aku mengaku bahawa Nabi Muhammad itu pesuruhNYA. Ya ALLAH... Jsdikanlah diriku dari kalangan orang yang bertaubat. Jadikanlah diriku dari kalangan orang yang sucidan jadikanlah diriku dari kalangan hambaMU yang soleh.
Amien...

Wallahualam.

Friday 4 March 2011

RAHSIA SURAH YASSIN AYAT KE 58

Barangsiapa yang membaca YAASIN sepenuhnya dan pada ayat ke 58 surah
tersebut "SALAAMUN QAULAN MIN RABBIN RAHIM" diulang sebanyak 7 kali untuk 7 niat baikmu, Insya Allah dengan izin Yang Maha Esa dan Maha
Kuasa, semua hajatmu akan dikabulkan.
Jika boleh niatkan sebegini:

1) YA-ALLAH YA-RAHIM, ampunkan dosa-dosaku dan saudara-maraku
2) YA-ALLAH YA-RAHMAN, kurniakan aku isteri,suami, anak-anak yang soleh
dan mencintai islam
3) YA-ALLAH YA-RAZZAK, kurniakan aku rezeki yang berkat,kerja yang baik
dan berjaya didunia dan akhirat.
4) YA-ALLAH YA-JABBAR, makbulkan hajat penghantar maklumat yang aku
dapat ini
5) YA-ALLAH YA-MUTAQABBIR, jauhkan aku dari sifat khianat dan munafiq
dan miskin
6) YA-ALLAH YA-WADUUD, kurniakan aku dan seluruh umat Muhammad yang
beriman kesihatan zahir batin
7) YA-ALLAH YA-ZALJALA LIWAL IKRAM, makbulkanlah semua hajatku, dan
redhaikanlah aku.....

AMINnnnn.

Mestikah Jodohnya Penzina Juga?

KHA, 03 FEB 2011 22:20 | ZAHARUDDIN ABD. RAHMAN | EDITOR: TEAM AGAMA

Ustaz, saya nak bertanya adakah seorang gadis yang pernah membuat zina, tetapi telah bertaubat dengan sesungguhnya. Adakah dia akan mendapat jodoh penzina juga. sedangkan dia benar-benar telah bertaubat dan berusaha menjadi wanita solehah.

Jawapan Ustaz :
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, jika seseorang sudah bertaubat dengan sebenar-benarnya (taubat nasuha), nescaya bukti nyata dan jelas akan hasil taubatnya yang tulen adalah dengan perubahan seluruh gaya hidupnya yang berkaitan hubungan lelaki dan wanita.
Jika seseorang mendakwa atau merasa diri sudah bertaubat, namun gaya hidup lamanya seperti :
  1. Rutin hubungan kawan dan rakan dengan lelaki masih aktif
  2. Masih keluar makan, berjalan berdua-duaan dengan lelaki samada urusan kerja atau peribadi
  3. Masih ber 'boyfriend' aktif dengan dating dan chatting intim di malam hari, cuma kononnya kali kini dengan seorang 'ustaz' atau seseorang yang 'jaga solat lima waktu'.
Jawapnya; peluang untuk mendapat suami penzina akan terbuka luas seperti dahulu..
Taubatnya mestilah dengan perubahan ketara dalam semua gaya hidup dan cara hubungannya dengan lelaki. Cara pakaiannya juga sepatutnya berubah, mungkin dari membuka aurta kepada tutup, dari tutup separa kepada tutup penuh, dari tudung glamour munafiq (hakikatnya membuka aurat) kepada tudung muslimah sejati.
Hanya dengan demikian, mata-mata lelaki soleh akan mula melihat dan masuk menghantar wakil kepada ibu bapanya.

Mata Lelaki Soleh
Mata lelaki soleh tidak ingin melihat kepada wanita yang bercampur baur dengan teman lelaki sekerja, 'bertepuk bertampar', bergurau senda, berdating sana sini dan berdua-duaan. Kecuali mata lelaki 'soleh' luarannya (penampilan fizikalnya) namun 'tidak soleh' dalamannya, mereka yang seperti ini akan terus berminat kepada mana-mana jenis wanita.

Lelaki Zina Untuk Perempuan Zina?
Akhirnya, Allah SWT berfirman : "Lelaki-lelaki yang berzina tidak akan mengahwini melainkan wanita yang berzina, atau wanita musrik dan wanita yang berzina tidak akan mengahwini lelaki kecuali yang berzina atau musyrik." (Surah An-Nur : 3)
Dalam ayat lain Firman Allah : "Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki-lelaki yang keji, dan lelaki-lelaki keji adalah untuk wanita-wanita yang keji, dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik.." ( Surah An-Nur : 26 )
Ayat di atas menyebabkan ulama berbeza pandangan dalam hal berkahwin dengan sesorang yang telah berzina. Ayat di atas secara sepintas lalu, kelihatan mengharamkan berkahwin dengan kumpulan penzina ini kecuali seorang penzina juga.

Walaubagaimanapun, menurut pandangan yang terkuat; hukum ayat di atas telah di 'nasakh' kan dengan ayat yang mengharuskan berkahwin dengan semua muslim dan muslimah yang masih boleh berkahwin. Iaitu ayat surah An-Nur ayat 32 . Ia adalah pandangan majoriti ulama. (Al-Jami' li Ahkamil Quran, Al-Qurtubi, 6/112 ; cet Dar al-Kutub al-Ilmiah)

Perlu diingat juga, terdapat sesetengah keadaan Allah swt memberikan jodoh lelaki atau wanita 'jahat'  kepada individu yang baik atau amat baik. Ia juga tidak bercanggah dengan ayat di atas.
Hikmah yang Allah Maha Mengetahui.. amat besar kemungkinan yang soleh tersebut berjaya menjadi lebih soleh dan musleh (membantu menjadikan seseorang itu menjadi soleh) apabila mendapat pasangan kurang baik. Lantaran pengaruh dan kekuatannya, hingga beliau menjadi semakin tinggi martabatnya di sisi Allah manakala pasangannya yang jahat menjadi soleh dan solehah.  

Tatkala itu, pasangan individu kurang baik boleh sahaja menjadi anugerah terbesar buat sebilangan individu yang terpilih menjadi lebih baik dengannya.
Namun boleh berlaku juga sebaliknya, yang jahat bertambah ultranya, yang baik merudum jatuh. Nauzubillahi min zalik (semoga kita dijauhkan daripadanya).

Artikel iluvislam.com

5 SYARAT BERBUAT MAKSIAT

"Suatu hari ada seorang lelaki yang menemui Ibrahim bin Adham. Dia berkata, "Wahai Aba Ishak! Selama ini aku gemar bermaksiat. Tolong berikan aku nasihat." Setelah mendengar perkataan tersebut Ibrahim berkata, "Jika kamu mahu menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya, maka boleh kamu melakukan maksiat." Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar bertanya. "Apakah syarat-syarat itu, wahai Aba Ishak?" 

Ibrahim bin Adham berkata, "Syarat pertama, jika kamu bermaksiat kepada Allah, jangan memakan rezekinya." Mendengar itu dia mengernyitkan kening seraya berkata, "Dari mana aku mahu makan? Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki Allah? "Ya!" tegas Ibrahim bin Adham. "Kalau kamu sudah memahaminya, masih mampukah memakan rezekinya, sedangkan kamu selalu berkeinginan melanggar larangan-Nya?" 

"Yang kedua," kata Ibrahim, "kalau mahu bermaksiat, jangan tinggal di bumi-Nya! Syarat ini membuat lelaki i tu terkejut setengah mati. Ibrahim kembali berkata kepadanya, "Wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah kamu layak memakan rezeki-Nya dan tinggal di bumi-Nya, sedangkan kamu melanggar segala larangan-Nya?" 

"Ya! Anda benar." kata lelaki itu. Dia kemudian menanyakan syarat yang ketiga. Ibrahim menjawab, "Kalau kamu masih mahu bermaksiat, carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat terlihat oleh-Nya!" Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata, "Wahai Ibrahim, ini nasihat macam mana? Mana mungkin Allah tidak melihat kita?" "Ya, kalau memang yakin demikian, apakah kamu m asih berkeinginan melakukan maksiat?" kata Ibrahim. Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang keempat. 

Ibrahim melanjutkan, "Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakanlah kepadanya, 'Ketepikan kematianku dulu. Aku masih mahu bertaubat dan melakukan amal soleh'." Kemudian lelaki itu menggelengkan kepala dan segera tersedar, "Wahai Ibrahim , mana mungkin malaikat maut akan memenuhi permintaanku?" 

"Wahai Abdullah, kalau kamu sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh menunda dan mengundurkan datangnya kematianmu, lalu bagaimana engkau boleh lari dari kemurkaan Allah?" 

"Baiklah, apa syarat yang kelima?" Ibrahim pun menjawab, "Wahai Abdullah kalau malaikat Zabaniyah datang hendak mengiringmu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut bersamanya." 

Perkataan tersebut membuat lelaki itu insaf. Dia berkata, "Wahai Aba Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknya." Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim. Air matanya bercucuran. "Mulai saat ini akut bertaubat kepada Allah." katanya sambil terisak-isak. 

Doa Pelembut Hati

Ya ALLAH...
Kurniakanlah kami lidah yang lembut dan basah dengan mengingati dan menyebut namaMU, hati yang penuh segar mensyukuri nikmatMU serta badan yang ringan menyempurnakan ketaatan kepada perintahMU.

Ya ALLAH...
Kurniakanlah kami iman yang sempurna, hati yang khusyuk, ilmu yang bermanfaat serta keyakinan yang benar-benar teuh terhadapMU.

Ya ALLAH...
Kurniakanlah kami agama yang betul, selamat daripada bahaya dan malapetaka.

Kami mohon Ya ALLAH...
Berikanlah kecukupan kepada kami supaya kami tidak meminta-minta, berikanlah kami iman yang sebenarnya sehingga kami tidak lagi gentar atau mengharap orang lain selain daripada ENGKAU Ya ALLAH.
Kembangkanlah lembayung rahmatMU kepada kami, keluarga kami serta anak-pinak kami, serta sesiapa sahaja yang bersama kami.

Jangan Ya ALLAH...
Jangan ENGKAU biarkan nasib kami ditentukan oleh diri kami sendiri, walau sekelip mata atau kedar lebih pendek dari itu.
Wahai TUHAN yang paling cepat dan mudah memperkenankan, perkenankanlah permintaan kami ini.

Selawat dan restuMU buat junjungan kami, Muhammad yang mulia, keluarga serta sahabat baginda seluruhnya.
(Doa Ma'thurat)

dipetik dari buku

Duhai TUHANKU... Perkenankanlah...

 
TUHAN...ampunilah keterlanjuaranku. Aku hamba-MU yang zalim. Aku hamba-MU yang berdosa.
Sudah segunung dosaku ini. Sudah selaut dosaku pada-MU. Kemana harusku tuju dengan tubuh yang kotor ini..?
Sudah puasku meratap. Akhirnya, kusedari bahawa taubat hanya disisi-MU.
Aku ingin bertaubat ya ALLAH... Masihkah KAU sudi menerima taubatku ini...?
Aku manusia hina, ya ALLAH...

Ya ALLAH...
Betapa banyak usia kubazirkan dalam dosa. Aku ingkar segala perintah-MU.
Kuturuti runtunan nafsu yang jahat itu. Apa sahaja bisikan syaitan aku ikut dengan rela.
Kaki kuhayun mencari maksiat. Tanganku...memegang dosa.
Sepatutnya nikmat kaki dan tangan kugunakan untuk taat kepada-MU.
Begitu juga dengan nikmat-nikmat lain yang KAU anugerahi, yang aku terima secara percuma.

Ya ALLAH...
Masih sudikah KAU mengampuniku yang serba kotor ini...? Aku bimbang ya ALLAH, jika KAU tidak mengampuniku, jika usiaku panjang, aku akan hidup dalam kehinaan. Jika usiaku pendek, seluruh isi alam akan berkata 'Kami sudah tahu di mana kau akan dihumban buat selama-lamanya'.

Ya ALLAH...
Dosaku terlalu banyak. Aku berasa malu.
Namun, dengan penuh keinsafan aku merayu, kumohon KAU memberiku dua perkara.
Aku ingin memohon keampunan-MU. Aku pernah mendengar mereka berkata, ENGAKU Maha PENGAMPUN. Rahmat-MU jua Maha Luas.

Aku ingin memohon kesempatan usia. Aku berjanji ya ALLAH...dalam keinsafan dan kesempatan usia ini untuk menjadi hamba-MU yang baik. Aku ingin menebus dosa-dosaku yang lalu. Aku ingin menjadi insan baru, yang tahu bersyukur kepada-MU. Kumohon KAU tidak mencabut nyawaku dalam kemurkaan. Kumohon KAU mencabut nyawaku dalam iman...

Petikan daripada 

'...Saat kugapai kasih-MU
Barulah kutahu dalam diri ini
Ada sejuta keindahan yang belum kukenali
Andai lama dahulu kukenal diriku
Tidaklah aku tersasar dari jalan-MU.
Dan kini..dalamsujud aku menyerah
Taubatku hanya untuk-MU, Ya ALLAH...'

Pesanan untuk si'dia'..

 Tolong beritahu si dia, aku ada pesanan buatnya..
Tolong beritahu si dia, CINTA AGUNG adalah cintaNya..
Tolong beritahu si dia, CINTA MANUSIA bakal membuatnya alpa..
Tolong nasihati sia dia, jangan menyintaiku lebih dari dia menyintai Yang Maha Esa..
Tolong nasihati si dia,jangan mengingatiku lebih dari dia mengingati Yang Maha Kuasa..
Tolong nasihati si dia, jangan mendoakanku lebih dari dia mendoakan ibu bapanya..
Tolong katakan pada si dia, dahulukan Allah kerana di situ ada syurga..
Tolong katakan pada si dia, dahulukan ibu bapanya kerana di telapak itu syurganya..
Tolong ingatkan si dia. Aku terpikat kerana imannya bukan rupa..
Tolong ingatkan si dia. Aku lebih cintakan zuhudnya bukan harta..
Tolong ingatkan si dia. aku kasihinya kerana santunnya..
Tolong tegur si dia, bila dia mula mengagungkan cinta manusia..
Tolong tegur si dia, bila dia tenggelam dalam angan-angannya..
Tolong tegur si dia, andai nafsu mengawal fikirannya..
Tolong sedarkan si dia. Aku milik Yang Maha Esa..
Tolong sedarkan si dia. Aku masih milik keluarga..
Tolong sedarkan si dia, tanggungjawabnya besar kepada keluarganya..
Tolong sabarkan si dia, usah ucap cinta di kala cita-cita belum terlaksana..
Tolong sabarkan si dia, andai diri ini enggan dirapati kerana menjaga batasan cinta..
Tolong sabarkan si dia, bila jarak mejadi penyebab bertambah rindunya..
Tolong pesan padanya. Aku tidak mahu menjadi fitnah besar kepadanya..
Tolong pesan padanya. Aku tak mahu menjadi punca kegagalannya..
Tolong pesan padanya aku membiarkan Yang Esa menjaga dirinya..
Tolong khabarkan pada si dia. Aku tidak mahu melekakan dia..
Tolong khabarkan pada si dia. Aku mahu dia berjaya dalam impian dan cita-citanya..
Tolong khabarkan pada si dia, jadilah penyokong dalam kejayaanku..
Tolong sampaikan pada si dia. Aku mendambakan cinta suci yang terjaga..
Tolong sampaikan pada si dia,cinta kerana Allah tidak ternilai harganya..
Tolong sampaikan pada si dia, hubungan ini terjaga selagi dia menjaga hubungan dengan Yang Maha Kuasa..
Tolong sampaikan kepada si dia kerana aku tidak mampu memberitahunya sendiri.
Hanya engkau Ya Allah mengetahui siapa si dia..

Moga pesananku sampai padanya walau aku sendiri tidak mengetahui siapa dan dimana si dia..

Moga dia seekor lebah yang sentiasa memuji keagungan Yang Maha Kuasa memasuki taman larangan dengan sopan santunnya dan bertemu mawar berduri yang terjaga oleh tuannya..
Simpanlah pesanan ku ini sehingga engkau bertemu diriku suatu hari nanti
Apabila kau ingin berteman,Janganlah kerana kelebihannya, Kerana mungkin dengan satu kelemahan,Kau mungkin akan menjauhinya.

Andai kau ingin berteman,Janganlah kerana kebaikannya,Kerana mungkin dengan satu keburukan,Kau akan membencinya.
Andai kau inginkan sahabat yang satu, Janganlah kerana ilmunya,Kerana apabila dia buntu,Kau mungkin akan memfitnahnya..
Andai kau inginkan seorang teman,Janganlah kerana sifat cerianya,Kerana andai dia tidak pandai menceriakan,Kau mungkin akan menyalahkannya.
Andai kau ingin bersahabat,Terimalah dia seadanya,Kerana dia seorang sahabat,yang hanya manusia biasa.
Jangan diharapkan sempurna,Kerana kau juga tidak sempurna, Tiada siapa yang sempurna;
Tapi bersahabatlah kerana Allah..



Rintihan Rabiatul Adawiyah (Tokoh Srikandi Sufi)

Rabi’ah binti Ismail al-Adawiyah tergolong wanita sufi yang terkenal dalam sejarah Islam. Dia dilahirkan sekitar awal kurun kedua Hijrah berhampiran kota Basrah di Iraq. Dia lahir dalam sebuah keluarga yang miskin dari segi kebendaan namun kaya dengan peribadatan kepada Allah. Ayahnya pula hanya bekerja mengangkut penumpang menyeberangi Sungai Dijlah dengan menggunakan sampan. 

Pada akhir kurun pertama Hijrah, keadaan hidup masyarakat Islam dalam pemerintahan Bani Umaiyah yang sebelumnya terkenal dengan ketaqwaan telah mulai berubah. Pergaulan semakin bebas dan orang ramai berlumba-lumba mencari kekayaan. Justeru itu kejahatan dan maksiat tersebar luas. Pekerjaan menyanyi, menari dan berhibur semakin diagung-agungkan.Maka ketajaman iman mulai tumpul dan zaman hidup wara’ serta zuhud hampir lenyap sama sekali. 

Namun begitu, Allah telah memelihara sebilangan kaum Muslimin agar tidak terjerumus ke dalam fitnah tersebut. Pada masa itulah muncul satu gerakan baru yang dinamakan Tasawuf Islami yang dipimpin oleh Hasan al-Bashri. Pengikutnya terdiri daripada lelaki dan wanita. Mereka menghabiskan masa dan tenaga untuk mendidik jiwa dan rohani mengatasi segala tuntutan hawa nafu demi mendekatkan diri kepada Allah sebagai hamba yang benar-benar taat. 

Bapa Rabi’ah merupakan hamba yang sangat bertaqwa, tersingkir daripada kemewahan dunia dan tidak pernah letih bersyukur kepada Allah. Dia mendidik anak perempuannya menjadi muslimah yang berjiwa bersih. Pendidikan yang diberikannya bersumberkan al-Quran semata-mata. Natijahnya Rabi’ah sendiri begitu gemar membaca dan menghayati isi al-Quran sehingga berjaya menghafal kandungan al-Quran. Sejak kecil lagi Rabi’ah sememangnya berjiwa halus, mempunyai keyakinan yang tinggi serta keimanan yang mendalam. 

Menjelang kedewasaannya, kehidupannya menjadi serba sempit. Keadaan itu semakin buruk setelah beliau ditinggalkan ayah dan ibunya. Rabi’ah juga tidak terkecuali daripada ujian yang bertujuan membuktikan keteguhan iman. Ada riwayat yang mengatakan beliau telah terjebak dalam kancah maksiat. Namun dengan limpah hidayah Allah, dengan asas keimanan yang belum padam di hatinya, dia dipermudahkan oleh Allah untuk kembali bertaubat. Babak-babak taubat inilah yang mungkin dapat menyedar serta mendorong hati kita merasai cara yang sepatutnya seorang hamba bergantung harap kepada belas ihsan Tuhannya. Marilah kita teliti ucapan Rabi’ah sewaktu kesunyian di ketenangan malam ketika bermunajat kepada Allah: 

"Ya Allah, ya Tuhanku. Aku berlindung diri kepada Engkau daripada segala yang ada yang boleh memesongkan diri daripada-Mu, daripada segala pendinding yang boleh mendinding antara aku dengan Engkau! 

"Tuhanku! bintang-bintang telah menjelma indah, mata telah tidur nyenyak, semua pemilik telah menutup pintunya dan inilah dudukku di hadapan-Mu. 

"Tuhanku! Tiada kudengar suara binatang yang mengaum, tiada desiran pohon yang bergeser, tiada desiran air yang mengalir, tiada siulan burung yang menyanyi, tiada nikmatnya teduhan yang melindungi, tiada tiupan angin yang nyaman, tiada dentuman guruh yang menakutkan melainkan aku dapati semua itu menjadi bukti 
keEsaan-Mu dan menunjukkan tiada sesuatu yang menyamai-Mu. 

"Sekelian manusia telah tidur dan semua orang telah lalai dengan asyik maksyuknya. Yang tinggal hanya Rabi’ah yang banyak kesalahan di hadapan-Mu. Maka moga-moga Engkau berikan suatu pandangan kepadanya yang akan menahannya daripada tidur supaya dia dapat berkhidmat kepada-Mu." 

Rabi’ah juga pernah meraung memohon belas ihsan Allah SWT: 

"Tuhanku! Engkau akan mendekatkan orang yang dekat di dalam kesunyian kepada Keagungan-Mu. Semua ikan di laut bertasbih di dalam lautan yang mendalam dan kerana kebesaran kesucian-Mu, ombak di laut bertepukan. Engkaulah Tuhan yang sujud kepada-Nya malam yang gelap, siang yang terang, falak yang bulat, bulan yang menerangi, bintang yang berkerdipan dan setiap sesuatu di sisi-Mu dengan takdir sebab Engkaulah Tuhan Yang Maha Tinggi lagi Maha Perkasa." 

Setiap malam begitulah keadaan Rabi’ah. Apabila fajar menyinsing, Rabi’ah terus juga bermunajat dengan ungkapan seperti: 

"Wahai Tuhanku! Malam yang akan pergi dan siang pula akan mengganti. Wahai 
malangnya diri! Apakah Engkau akan menerima malamku ini supaya aku berasa bahagia ataupun Engkau akan menolaknya maka aku diberikan takziah? 

Demi kemuliaan-Mu, jadikanlah caraku ini kekal selama Engkau menghidupkan aku dan bantulah aku di atasnya. Demi kemuliaan-Mu, jika Engkau menghalauku daripada pintu-Mu itu, nescaya aku akan tetap tidak bergerak juga dari situ disebabkan hatiku sangat cinta kepada-Mu." 

Seperkara menarik tentang diri Rabi’ah ialah dia menolak lamaran untuk berkahwin dengan alasan: 

"Perkahwinan itu memang perlu bagi sesiapa yang mempunyai pilihan. Adapun aku tiada mempunyai pilihan untuk diriku. Aku adalah milik Tuhanku dan di bawah perintah-Nya. Aku tidak mempunyai apa-apa pun." 

Rabi’ah seolah-olah tidak mengenali yang lain daripada Allah. Oleh itu dia terus-menerus mencintai Allah semata-mata. Dia tidak mempunyai tujuan lain kecuali untuk mencapai keredaan Allah. Rabi’ah telah mempertalikan akalnya, pemikirannya dan perasaannya hanya kepada akhirat semata-mata. Dia sentiasa meletakkan kain kapannya di hadapannya dan sentiasa membelek-beleknya setiap hari. 

Selama 30 tahun dia terus-menerus mengulangi kata-kata ini dalam sembahyangnya: 

"Ya Tuhanku! Tenggelamkanlah aku di dalam kecintaan-Mu supaya tiada suatupun yang dapat memalingkan aku daripada-Mu." 

Antara syairnya yang masyhur berbunyi: 

"Kekasihku tiada menyamai kekasih lain biar bagaimanapun, Tiada selain Dia di dalam hatiku mempunyai tempat manapun, Kekasihku ghaib daripada penglihatanku dan peribadiku sekalipun,Akan tetapi Dia tidak pernah ghaib di dalam hatiku walau sedetik pun." 

Rabi’ah telah membentuk satu cara yang luar biasa di dalam mencintai Allah. Dia menjadikan kecintaan pada Ilahi itu sebagai satu cara untuk membersihkan hati dan jiwa. Dia memulakan fahaman sufinya dengan menanamkan rasa takut kepada kemurkaan Allah seperti yang pernah diluahkannya: 

"Wahai Tuhanku! Apakah Engkau akan membakar dengan api hati yang mencintai-Mu dan lisan yang menyebut-Mu dan hamba yang takut kepada-Mu?" 

Kecintaan Rabi’ah kepada Allah berjaya melewati pengharapan untuk beroleh syurga Allahsemata-mata. 

"Jika aku menyembah-Mu kerana takut daripada api neraka-Mu maka bakarlah aku didalamnya! Dan jika aku menyembah-Mu kerana tamak kepada syurga-Mu maka haramkanlah aku daripadanya! Tetapi jika aku menyembah-Mu kerana kecintaanku kepada-Mu maka berikanlah aku balasan yang besar, berilah aku melihat wajah-Mu yang Maha Besar dan Maha Mulia itu." 

Begitulah keadaan kehidupan Rabi’ah yang ditakdirkan Allah untuk diuji dengan keimanan serta kecintaan kepada-Nya. Rabi’ah meninggal dunia pada 135 Hijrah iaitu ketika usianya menjangkau 80 tahun. Moga-moga Allah meredainya, amin! 

Sekarang mari kita tinjau diri sendiri pula. Adakah kita menyedari satu hakikat yang disebut oleh Allah di dalam Surah Ali Imran, ayat 142 yang bermaksud: 

"Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum nyata bagi Allah orang yang berjihad di antaramu dan belum nyata orang yang sabar." 

Bagaimana perasaan kita apabila insan yang kita kasihi menyinggung perasaan kita? Adakah kita terus berkecil hati dan meletakkan kesalahan kepada insan berkenaan? Tidak terlintaskah untuk merasakan di dalam hati seumpama ini: 

"Ya Allah! Ampunilah aku. Sesungguhnya hanya Engkau yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Hanya kasih-Mu yang abadi dan hanya hidup di sisi-Mu sahaja yang berkekalan. Selamatkanlah aku daripada tipu daya yang mengasyikkan." 

Sesungguhnya apa juga lintasan hati dan luahan rasa yang tercetus daripada kita bergantung kepada cara hati kita berhubung dengan Allah. Semakin kita kenali keluhuran cinta kepada Allah, maka bertambah erat pergantungan hati kita kepada Allah serta melahirkan keyakinan cinta dan kasih yang sentiasa subur. 

Lanjutan itu jiwa kita tidak mudah berasa kecewa dengan gelagat sesama insan yang pelbagai ragam. Keadaan begini sebenarnya terlebih dahulu perlu dipupuk dengan melihat serta merenungi alam yang terbentang luas ini sebagai anugerah besar daripada Allah untuk maslahat kehidupan manusia. Kemudian cubalah hitung betapa banyaknya nikmat Allah kepada kita. 

Dengan itu kita akan sedar bahawa kita sebenarnya hanya bergantung kepada Allah. Bermula dari sini kita akan mampu membina perasaan cinta terhadap Allah yang kemudian mesti diperkukuhkan dengan mencintai titah perintah Allah. Mudah-mudahan nanti kita juga akan menjadi perindu cinta Allah yang kekal abadi. 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...